Thursday, November 20, 2014

SETEGUH TEKAD - PROF DR SIDEK BABA (ALAF 21)

Buku setebal 319 mukasurat.
Dibeli pada 4 April 2008 (Pesta Buku di PWTC)

Satu rangkap ayat (quote) yang menarik dalam buku…
Apalah erti kejayaan bagi seorang anak yang kekurangan serba serbi? Pasti jawapanya mudah bagi persoalan ini. …Arghhh..lupakan saja..tak perlu berangan menggapai impian yang tidak pasti.  Namun, sikap mudah menyerah kalah ini tidak pernah ada pada insan bernama Sidek  Baba.  Semakin getir cabarannya, semakin kental tekad yang ada dalam diri.  Kini setelah melalui 1001 ranjau penuh liku,  akhirnya kemanisan muncul jua di hujung derita.

Pengenalan dan Ringkasan Buku
Buku setebal 319 mukasurat ini saya beli pada 4 April 2008 (Pesta Buku di PWTC)
Sedikit perihal Prof  Dr. Sidek Baba:
1.      Merupakan anak kepada seorang Bilal di kampungnya.
2.      Ayahnya rajin mendekatkan beliau dengan masjid sejak beliau kecil lagi.  Bertujuan menjadikannya seorang ustaz apabila besar dan mengikuti jejak Lebai Jaafar.  
3.      Setiap Jumaat beliau akan diminta oleh ayahnya membersihkan kawasan atas dan bawah masjid,  mengelap lantai serta membentang tikar dan memukul beduk bagi mengingatkan hari itu adalah Hari Jumaat.  
4.      Namun cita-cita ayahnya dengan kehendak ALLAH tidak sama. ALLAH Maha Mengetahui pada yang dirancangkan untuk hamba-NYA.

Apa yang menarik …
1.       Walaupun ayahnya seorang yang kuat beragama, namun beliau mempunyai pemikiran terbuka.   Kedatangan Guru Besar sekolah anaknya iaitu Cikgu Ab. Rahman Hashim telah merubah perjalanan hidup Sidek.  Walau pada mulanya berasa berat hati kerana tidak berkemampuan namun atas desakan dan pujukan Cikgu Rahman yang menyatakan Kerajaan ada memberi bantuan biasiswa bagi pelajar-pelajar yang maju dalam pelajarannya maka ayah akhirnya akur dengan apa yang diutarakan oleh Cikgu Rahman.

2.      Ayah   menginginkan   Sidek   menjadi   seorang   Ustaz   sedangkan  sekolah menengah yang akan diduduki oleh Sidek bukannya beraliran agama.  Beliau tidak menolak terus pelawaan Cikgu Rahman.  Walaupun merasakan pendiriannya betul,  namun dalam masa yang sama beliau juga tahu bahawa kata-kata Cikgu Rahman juga tidak salah.  Ayah meminta pendapat dari datuk dan datuk juga bersetuju agar Sidek meneruskan pelajaran dan berjanji akan membantu sedaya mampu.   

3.      Sidek perlu menduduki peperiksaan bagi membolehkannya memasuki sekolah menengah.  Peperiksaannya agak mencabar kerana banyak soalan menguji kepintaran akal.   Beliau dapat menjawab sebahagian besar dari soalan-soalan yang diberi berkat tunjuk ajar Cikgu Alias dan akhirnya berjaya memasuki Remove Class di Sekolah Menengah Inggeris Gajah Berang.   Kejayaannya memasuki sekolah menengah amat menggembirakan Cikgu Rahman dan guru-guru lainnya. Datuknya juga  berazam untuk membantu.  Begitu juga dengan abang tirinya yang nekad ke Kuala Lumpur mencari pekerjaan bagi membantu membiayai persekolahan beliau.  

4.   Berkat cita-cita, beliau cekal dan bertekad bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Antara kisah yang amat menyentuh hati setiap pembaca adalah  kesanggupan beliau mengayuh basikal sejauh 45 batu untuk ke sekolah setiap hari sehingga menyebabkan beliau penat dan tidak dapat menumpukan pelajaran. Akibatnya pelajaran beliau merosot dan mendapat markah tercorot. Kerana ketiadaan wang beliau tidak mampu membayar tambang bas ke sekolah. Sampai begitu sekali kegetiran kehidupan beliau masa itu.

5.      Kata-kata datuknya:
       ” Kita mesti berusaha ubah hidup kita.”
 Menjadikan beliau lebih bersemangat untuk meneruskan cita-cita.  Beliau bukan seorang yang terlalu bijak, hanya lulus LCE setakat pangkat B dan lulus MCE dengan pangkat 3, tapi berkat usaha yang tidak putus-putus dalam menimba ilmu akhirnya beliau berjaya. Kerana cintanya kepada ilmu, beliau menjadikan pendidikan (pendidik/cikgu) sebagai titik permulaan. 

6.  Dalam sibuk menabur ilmu kepada anak bangsa, beliau beberapa kali mengambil  
     peperiksaan HSC untuk melayakkan beliau menempatkan diri ke universiti.
     Kegagalan demi kegagalan seolah-oleh tidak mematahkan semangatnya untuk
     menuntut ilmu. Setelah 7 kali mencuba akhirnya beliau berjaya menjadi
     mahasiswa walaupun layak  digelar  sebagai “mahasistua”.   Dari situ, beliau
     meneruskan   usaha untuk ke tahap yang lebih tinggi hingga bergelar profesor.

7. Hampir 40 tahun menjadi pendidik dan menceburkan diri dalam bidang pendidikan
     menyebabkan beliau dikenali sebagai ilmuan yang disegani. Dalam usaha  
     menjadi pendidik, beliau juga diuji. Beliau pernah ditahan di bawah ISA selama
     hampir 2 minggu  atas sebab yang beliau sendiri tidak ketahui.

Apa yang tidak menarik …
Apabila ayah dan ibunya seolah-olah berputus asa kerana ketidakmampuan mereka dalam menyediakan perbelanjaan Sidek bersekolah. Kemiskinan mereka serta kesihatan ibubapa yang tidak mengizinkan mereka membuat kerja-kerja sampingan seolah-olah menutup harapan Sidek untuk meneruskan persekolahan.

Ayahnya seakan memaksa Sidek berkerja sebagai Penjaga Stor yang pada Sidek sema tarafnya sebagai Penoreh getah. Walaupun pekerjaan tersebut bukanlah hina, namun beliau telah bertekad untuk menjadi yang lebih baik daripada itu.

Pandangan dan pendapat anda…
1.       Prof. Dr. Sidek Baba merupakan seorang yang mempunyai jiwa yang amat kental. Tiada istilah berputus asa dalam diri beliau.  Walau sepahit mana perjalanan kehidupan beliau, semangatnya untuk terus berjuang demi menaikkan martabat diri harus menjadi ikutan anaka-anak muda masa kini.

2.      Tidak ada yang mustahil untuk digapai, kiranya setiap apa yang kita lakukan adalah dengan sepenuh keyakinan berserta doa dan usaha yang tidak pernah kenal erti jemu. Apabila  kita membelek sehelai demi helaian buku setebal 319 halaman ini dan menghayati kisah pahit manis yang beliau lalui, timbul kesedaran bahawa hidup ini tidak lepas daripada dugaan dan bagaimana kita menghadapinya.



  Adakah anda menggalakkan orang lain untuk membaca buku ini? Tanda X pada petak yang berkenaan.

X
Ya



Tidak
Sila beri ulasan kenapa Ya atau Tidak?
Banyak pengajaran dari pahit getir beliau yang boleh kita kongsi bersama.  Sebagai anak kampung yang miskin, kehidupan keluarganya yang hendak makan seharian pun tidak kecukupan, namun keluarga mereka berbesar hati untuk bersama-sama berusaha agar masa depan anak mereka akan merubah nasib keluarga mereka di masa hadapan.

Justeru, pengalaman Prof. Dr. Sidek Baba mengayuh basikal sejauh 45 batu dari rumahnya yang terletak di Bandar Melaka wajar menginsafkan kita kerana kayuhan demi menuntut ilmu bersama tekad teguh beliau akhirmya melahirkan insan yang menjadi contoh kepada kita hari ini.