Monday, January 18, 2016

INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA - NOOR LAILA ANIZA ZAKARIA


BUKU DIBELI PADA 29 OKTOBER 2014 
semasa forum di pejabat saya sempena
 program Forum 10 Saat Pelukan Keluarga @ LPPKN

Indahnya hidup tanpa derita mengumpulkan 40 kisah benar dugaan dan badai rumah tangga yang dilalui oleh masyarakat hari ini. Namun watak-watak di dalam buku ini telah diubah suai bagi menjaga maruah dan kebajikan bersama.

Ia juga memaparkan kisah-kisah kehidupan berumahtangga yang mengalami berbagai-bagai badai seperti tabah bersuamikan kaki pukul isteri, suami si penagih dadah, isteri lari dari rumah dan ego suami. Melayari kehidupan berumah tangga adalah ibarat satu penerokaan kawasan baru tanpa peta yang jelas bagi mereka yang jahil mengenai ilmu rumah tangga. Justeru, tidak hairanlah ramai pasangan baru dan juga pasangan lama menghadapi konflik rumah tangga. Pergeseran dalam rumah tangga yang membawa kepada suasana keluarga yang tidak kondusif untuk mencari  keredhaan Allah SWT, akan merugikan banyak pihak . Kebahagiaan rumah tangga adalah asas penting dalam mencari mardhatillah.

Setiap masalah yang kita hadapi dalam rumah tangga atau situasi yang lain, adalah berpunca daripada tiga faktor: iaitu hati yang tidak murni, pemikiran yang negatif dan tindakan yang silap. Justeru, setiap masalah berpunca daripada diri kita sendiri dan kitalah yang perlu menyelesaikannya.

Falsafah buku ini lebih kepada pendekatan “responsive” berbanding pendekatan “reaktif” Setiap individu yang bermasalah diajak untuk bertindak sebaik mungkin dalam konteks kekangan yang ada dan tidak menuding jari untuk mencari kesalahan orang lain. Mencari kesilapan orang lain tidak akan menyelesaikan sebarang masalah, malah mengeruhkan keadaan. Petua, nasihat dan perbincangan yang diutarakan dalam buku ini mendorong kita untuk mencuci hati, memurnikan pola pemikiran dan mencantikkan amalan berteraskan al-Quran dan Sunnah.

Pembaca buku ini akan dapat mengambil iktibar daripada isu yang dipaparkan untuk menghisab diri dan mencuplik nasihat untuk pembaikan diri yang berterusan. Bagi yang berdepan dengan pelbagai masalah perlulah bersabar.  Kesabaran anda meningkat setiap kali anda dihina dan dikeji. Kekuatan dan ketabahan hati anda semakin teguh. Setiap masa anda dapat pahala percuma daripada Allah selagi anda bersabar dan mencuba membaiki keadaan.

Tidak ramai yang menyedari bahawa stres sebenarnya adalah momentum ke arah kejayaan yang lebih besar jika berjaya ditangani dengan bijak. Kadang-kadang disebabkan oleh stres kita akan menjadi lebih teliti dengan tugasan, semakin cepat bertindak dan bertungkus-lumus menyiapkan tugasan serta semakin sempurna dalam pengurusan diri dan tanggungjawab tertentu. Dengan stres itu  kita dapat belajar menguasai masalah dan berjuang untuk menjadilebih baik dari sehari ke sehari.  Setiap  tekanan yang duhadapi  adalah ’teguran halus’  dan ’ sedekah’ daripada Allah untuk menambahkan pahala. Itu juga petanda Allah amat sayangkan kita

Semoga sedikit sebanyak nasihat di dalam buku ini memberi kekuatan kepada pembaca untuk bangkit daripada segala putus harap, lemah semangat, mati jiwa, buta mata dan cetek fikiran. Sesungguhnya apa yang kita tempuh di muka bumi adalah pembersih dosa untuk membuatkan kita lebih sabar, redha dan tambah bersyukur. Juga untuk mengajar kita bertindak lebih bijak dari sehari ke sehari.

Yakinlah, Allah ingin memberi kita syurga, kerana itu Dia menguji iman kita


Mungkin ramai dari kita, sama seperti saya, yang mentafsirkan dugaan sebagai satu bebanan yang turun pada jiwa, sesuatu yang membuatkan kita sedih dan rasa berat memikul suatu perasaan. Namun kita sebenarnya lupa, dugaan yang sebesar-besarnya adalah apabila kita diuji dengan tidak dapat melaksanakan ketaatan padanya.


Buku ini amat sesuai untuk dibaca oleh setiap mereka yang ingin berumah tangga, ibu bapa dan mentua, guru-guru, pendakwah, perunding motivasi, kaunselor dan mereka yang ingin menambah ilmu atau mencari perspektif segar dalam menangani isu rumah tangga.


Buku ini turut dilengkapi dengan pakej nasihat dan tip-tip keagamaan dan psikologi untuk dijadikan rujukan dan panduan kehidupan. Banyak perkara menarik dikongsikan di dalam buku ini kerana kisah yang dipaparkan kadang-kadang merupakan kisah ekstrem yang tidak terjangkau dengan akal fikiran.


Semoga kita sama-sama menjadi kekasih Allah serta meningkatkan ilmu untuk memperbaiki amal kita setiap hari. Jika kita bercinta dengan Allah, tidak mungkin hidup kita sengsara bahkan kitalah yang paling bahagia di dunia dan di akhirat. Maka teruslah bercinta dengan Allah. Dialah sebaik-baik tempat mengadu dan bergantung harap.


Penulis juga ingin mengajak  dan mengingatkan kita sesungguhnya Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk hamba-hambaNya sehinggalah roh sampai di kerongkong.